Thursday, November 5, 2009

mencari 'simone de beauvoir'


jam 2 petang semalam - saya melancarkan ekspedisi mencari buku 'The second Sex' tulisan pemikir eksistensialis perancis, simone de beauvoir di rak-rak mahal lagi berkilat dan bercermin di toko-toko buku utama, besar lagi terkenal di sekitar bandaraya kuala lumpur yang kita semua cintai dan benci ini.

walaupun ada firasat-firasat halus yang berbisik di telinga saya bahawa saya tak akan dapat menemuinya di situ, saya tetap meneruskan pencarian kerana saya bukanlah 'melayu malas' yang berpuas hati dengan keputusan ikut rasa, mimpi, firasat kemenyan mahupun dongengan nenek moyang tanpa melakukan tindakan dan usaha-usaha yang sepatutnya terlebih dahulu. lagipun, malaysia yang sekian lama merdeka dan sekian lama menjanjikan pencapaian minda yang bijak lagi terbuka ini sudah tentulah juga menjanjikan koleksi ilmu-ilmu pengetahuan yang tidak terbayangkan untuk habuan kita sebagai rakyatnya yang sekian lama setia mengharungi apa jua kegawatan yang berlaku atau yang sengaja dilakukan.

lalu saya dengan berbekalkan idea positif lagi penuh romantisme itu, pergi menjelajah ke setiap toko-toko buku tersebut.

sampai sahaja di toko buku yang pertama, seperti biasa saya akan terus menuju ke arah sistem pencarian buku berkomputer di tepi dinding di sebelah rak yang dipenuhi dengan buku-buku terbitan kapitalis parasit yang menyedut untung dari poket roh michael jackson. saya memandang michael jackson yang memandang saya dengan matanya yang berkilau akibat pantulan sarung tangan berliannya itu. saya tersengih. sememangnya lubuk duit berada di tangan orang yang sengsara. macam rakyat palestin. mereka berhempas pulas berlapar dahaga menggadai nyawa. dan ada orang-orang kita di sini mengaut untung dengan menjual lencana-lencana, sticker, t-shirt dan serban-serban yang berlogokan 'free palestine'.

saya pun menaip nama penulis dan tajuk buku yang saya cari. di saat saya menaip tajuk buku 'the second sex', dari ekor mata saya nampak, berdiri seorang pengawal keselamatan berbangsa melayu yang agak berumur di belakang saya sedang tersengih melihat buku yang saya cari.

"tak ada dik buku tu. buku lain ada."
"o yeke? ok...section women's studies kat mana, pakcik?"
"kat sana. mai pakcik tunjukkan."

perasaan saya pada waktu itu seolah-olah seperti ditangkap sedang menonton porno atau sedang mau mebuka coli untuk berasmara dengan kekasih di waktu remaja dulu! tapi pakcik guard ni ok kut, sekurang-kurangnya dia tau di mana seksyen women's studies! bisik hati saya.

sampai saja di rak buku yang dimaksudkan, saya terkial-kial mencari buku yang tiada. saya didatangi lagi. kali ini oleh seorang pembantu toko. tanpa membuang masa saya pun terus bertanya dan tanpa membuang saya dia pun bertanya saya kembali.

"buku apa tu?"
"falsafah, cik."
"the second sex?" (dengan penekanan yang agak luar biasa pada perkataan sex tersebut)
"ya."
"siapa penulisnya?"
"simone de beauvoir"
"falsafah apa tu ya?"
"eksistensialisme" walaupun sebenarnya saya ingin sekali kata kepadanya "cinta, seks dan keinginan seorang wanita yang bebas dan merdeka!"
"tak ada. buku lain ada", eh, samalah jawapannya dengan pakcik guard tadi. langsung tak ada perbezaan status pemikiran dan sebagainya. atau mungkin juga sebelum menjadi pembantu pelanggan, dia terlebih dahulu seorang pengawal keselamatan di situ.

jam 3 petang - di toko buku kedua. berbekalkan pengalaman di toko buku pertama, saya tak mahu lagi membuang masa. saya terus ke kaunter pertanyaan dan servis pelanggan. dua orang gadis bertudung lagi sopan tetapi langsung tidak peramah duduk ibarat pasu bunga menunggu waktu habis kerja untuk diangkat oleh pasangan masing-masing kembali ke taman simpanan di rumah. mereka langsung tidak menyapa saya. sekali lagi saya terkial-kial. saya pun bertanya.

"buku apa?" mata si gadis terbeliak.
"tak apa. ada pen dengan kertas? saya tuliskan tajuk buku dan nama penulisnya sekali."

di saat saya menghulurkan kertas catitan tersebut, si gadis sekali terbeliak lagi memandang saya. beliakan yang hanya membawa satu maksud - buku lucah! beliakan yang selalu saya lihat di pondok2 menunggu bas atau teksi ketika mereka melihat gadis-gadis berani yang memakai mini skirt atau seluar pendek mahupun baju tidak berlengan menampakkan dada. beliakan yang mempunyai 2 makna - "astaghfirullahalazzim" atau "aku teringin jugak nak pakai macam tu"

Si gadis pun mencari buku tersebut di laman komputernya.

"sorry miss, according to our management file, we never bring in such book" begitulah maksud ayatnya kalau tidak kerana broken englishnya yang begitu dahsyat sekali.

jam 4.30 petang - setelah berjalan kaki sambil makan aiskrim saya pun sampai ke toko buku ketiga. toko buku yang terbesar, tergah dan punya paling banyak rak-rak bercermin di mana rakyat melihat buku seperti melihat barang-barang artifak yang tak ternilai harganya. hanya yang ada kuasa wang yang mampu menyentuh dan menyelak helaiannya tak kira lah apa tujuannya, untuk memenuhi ilmu di dada atau untuk hiasan di rak-rak rumah untuk label inteligen oleh tamu yang datang.

di kaunter pertanyaan,

"mintak maaf cik, kami memang tak pernah bawak masuk buku ni"
"kena banned ke? ini buku falsafah tau, bukan buku lucah"
si gadis dan si mamat tersengih. "kalau ikut status kat dalam listing ni, buku ni bukan dalam list buku kena banned."
"dah tu?"
" ini buku lama cik. ada dua edisi je. tahun 1976 dan 1995. tak ada edisi baru."
" so? shakespeare kena ada edisi baru jugak ke baru boleh keluar. kalau macam tu susah la plato,aristotle, william blake, jalaludin rumi semua tu kan? diaorang tu penulis lama tu."
si gadis dan si mamat tersengih lagi. mungkin dah biasa dengan ragam rakyat yang naik hantu akibat ketagihan ilmu. mungkin kerana itu mereka diletakkan oleh majikan-majikan mereka yang penakut lagi korup di meja depan untuk menguruskan urusan-urusan rakyat.
"tak tau la cik. tapi buku-buku dia yang lain ada"
"buku madame bovary ada?"
" penulisnya?'
"Gustave Flaubert"
"ada. cik masuk kiri, di rak no 1 dari kanan ya."

Saya ketawa bagai nak gila dalam diri saya. macamana buku 'madam bovary' tulisan gustave flaubert yang penuh dengan cerita cinta, seks dan keinginan wanita itu boleh ada di mana-mana sedangkan 'the second sex' simone de beauvoir, falsafah eksistensial wanita yang mencetuskan kesedaran hak asasi wanita seterusnya gerakan revolusi feminisme itu hanya ada di rak-rak persendirian di rumah teman-teman aktivis sahaja?

takkanlah rakyat malaysia yang sekian lama bebas dan merdeka ini hanya hidup atas daya fikir yang dicetuskan oleh imej-imej bersih dan slogan-slogan indah sahaja? takkanlah begitu cetek sekali pemikiran kita ya?

jam 6.30 petang - penat, marah, sedih, bimbang dan kaki yang longlai akibat terlalu banyak berjalan dan terlalu lama berdiri serta dicengkam udara penghawa dingin yang tidak sihat lagi palsu, saya di sebuah kedai kopi separuh borjuis yang membenarkan rakyat minum kopi sambil menyedut rokok berdekatan dengan panggung wayang yang sedang menayangkan filem 'this is it'. saya leka melihat gadis-gadis manis yang moden lagi ranggi dan cuba sedaya upaya tampak hebat dengan pakaian dan gaya rambut terbaru.

saya hanya ada satu soalan untuk mereka.

Mengapakah mereka bercermin mata hitam besar menutup hampir separuh muka di dalam pusat membeli belah yang tertutup, dingin lagi tidak di masuki cahaya?
adakah kerana mata mereka bengkak akibat menangisi michael jackson dalam aksi-aksi terakhirnya di dalam filem 'this is it'?
atau adakah mereka 'trying their hardest to look gorgeous without knowing that they actually look dumb'? memakai cermin mata hitam di dalam bangunan di musim basah lagi hujan?

saya rasa sudah tiba masanya toko-toko buku membawa masuk buku-buku yang boleh meningkatkan lagi ilmu pengetahuan mereka. lebih baik lagi sekiranya buku-buku tersebut diletakkan di perpustakaan-perpustakaan rakyat yang mudah di jangkau oleh mata dan tangan serta jarang dikunjungi si kaya yang sibuk mencari wang untuk membeli buku-buku berstatus artifak di toko-toko buku glamor.
hanya ilmu pengetahuan sahaja yang dapat meningkatkan tahap kecantikan seorang wanita di mata wanita, apalagi di mata lelaki dan di mata dunia!