Sunday, November 22, 2009

KARAOKE dari sudut feminisme.



Oleh kerana rakyat malaysia yang kita cintai ini membenarkan diri mereka diprogram-politikkan mengikut imej-imej dan slogan-slogan tertentu, peti tv nasional kita selalu menyogok-rasuahkan kita dengan imej-imej ibu yang hidup dalam 2 warna -ibu yang baik, ibu yang jahat.

jarang sekali kita temui gambaran ibu yang berada di tengah-tengah, yang punya konflik diri dalam membikin keputusan hidup diantara baik dan jahat tersebut., apalagilah yang membuat keputusan ikut kehendak diri. kalau ada pun, ianya cuma sekadar luahan dialog di mulut dan akhirnya si ibu ini akan kembali kepada 2 titik tersebut, baik atau jahat.

kesian. mengapakah mereka dihukum untuk tidak punya pilihan lain selain hitam atau putih? tetapi siapa pula yang menyuruh mereka berdiam diri dalam lingkungan 2 pilihan itu sahaja? adakah wanita-wanita ini dengan rela melemparkan diri mereka ke dalam lingkungan tersebut kerana mereka tidak mahu di anak tirikan oleh masyarakat yang kita semua tahu bertunjangkan patriaki? atau adakah mereka ingin meruntuhkan dinding konformasi tersebut tetapi tidak cukup berani apalagi berilmu untuk menentang arus dominasi ini?

apa pun persoalan dan jawapannya, wanita-wanita ini harus sedar bahawa mereka tidak lain dan tidak bukan, masih dan sampai bila-bila adalah seorang manusia. manusia yang berkehendak.
dan apa pun jua kehendak tersebut, wanita-wanita ini perlu sedar bahawa tidak ada siapa yang menghalang mereka dari mencapainya. si penghalang adalah diri mereka sendiri.

diri yang di dalamnya bukan hanya ada mereka tetapi juga dihuni oleh parasit-parasit lain - suami, anak, mertua, ipar duai, orang tua, adik beradik, jiran dan masyarakat, sosio-ekonomi-budaya, karier, institusi ugama dan seterusnya. parasit-parasit yang selalu dilabel oleh mereka yang tidak ada daya saing ataupun mereka yang punya niat mengambil kesempatan sebagai 'hukum alam'. alangkah kejamnya 'alam' mereka itu menghukum! sudahlah dihukum, diberi pula pujian-pujian palsu seperti 'wanita hebat', 'tokoh ibu' dan sebagainya. pujian-pujian yang sebenarnya menjerumuskan lagi wanita-wanita ini lebih jauh ke dalam perangkap tugas (juga krisis) atas nama seorang wanita.

saya bukanlah berniat untuk menghina atau memandang rendah kepada mereka. malah saya salut kesabaran dan ketabahan mereka. saya cuma ingin membawa mereka mengintai ke jalan yang lagi satu. jalan yang membenarkan kita bertugas sebagai wanita, isteri dan ibu serta tugas yang selalu kita lupa atau yang selalu kita korbankan demi kebahagiaan yang lain - sebagai diri sendiri!

jadi, ikut 'hukum alam' biarlah mereka menghuni. tapi jangan izinkan mereka mendominasi. kerana dominasi akan menghisap nafas dan kewujudan diri kita. kasihanilah diri sendiri. diri sendiri ini tidak diturunkan oleh tuhan untuk larut hingga hilang di atas muka bumi ini. diri sendiri ini seharusnya larut tetapi ada. Lihat saja pada wanita-wanita dalam filem 'Karaoke"!
















Wednesday, November 11, 2009

I AM MY BODY.


orang selalu bertanya kepada saya kenapa saya memilih untuk menjadi seorang vegetarian.
dan sebenarnya selalu juga saya dikritik kerana saya seorang vegetarian.
kadang-kadang kritikan tersebut menjadi agak ganas sifatnya apabila perdebatan mula mengaitkan isu ugama dan tuhan.

kesian. ugama dan tuhan selalu jadi mangsa perdebatan kurang matang terutamanya di kalangan orang melayu yang memang suka mempamerkan kehebatan berkata-kata tetapi tidak cukup ilmu untuk melancarkan peperangan minda.
ugama dan tuhan ini juga sering disalahgunakan sebagai perisai pelindung diri apabila si pendebat sudah tidak lagi ada cara lain untuk melepaskan diri atau dengan kata lain, untuk menyorokkan kebodohannya yang telah ditelanjanginya sendiri.

dan taktik ugama dan tuhan ini memang selalunya berkesan. berkesan kerana orang melayu memang takut pada ugama dan tuhan. ketakutan yang kadang-kadang tak masuk akal. ketakutan yang dilihat oleh orang-orang atasan sebagai satu peluang untuk mereka menekan kita, rakyatnya. dan tanpa berlengah, orang-orang atasan ini yang sepatutnya membimbing kita ke jalan ilmu yang cerah lagi logik, telah mengheret dan menghumban kita ke lubang gelap yang sempit lagi dalam dimana tak ada nabi mahupun malaikat ataupun tuhan akan menolong kita melihat cahaya. kerana kita sendiri yang telah membuang cahaya tersebut dari dalam hati dan minda kita.

tapi saya tidaklah bertujuan untuk berceramah panjang tentang hal itu. kerana memang begitulah halnya kita ditekan setiap hari oleh mereka. tapi kita memilih untuk tidak mau nampak. bukan kerana kita takut dengan ugama dan tuhan tetapi kita tak cukup ilmu untuk sedar bahawa kita telah diperkecilkan. itulah sebabnya tuhan suka dengan orang-orang yang berilmu, bukan dengan orang yang takut padanya tanpa usul periksa dan sebab-sebab yang tak tentu. kerana ianya memberi tuhan satu imej yang begitu buruk sekali- narsissitik, fasis lagi kejam dan tidak berperi sedangkan bukankah Dia maha pengasih, pengampun dan maha berilmu?

kembali kepada isu vegetarian tadi - saya selalu jadi mangsa mereka yang mengheret ugama dan tuhan sebagai saksi. sehinggakan saya merasakan mungkinkah nanti saya akan masuk neraka kerana berdosa menolak nikmat-nikmat yang tuhan beri pada saya dalam bentuk ayam, daging serta makanan laut?

jadi ini hujah saya - saya seorang aktor di negara malaysia ini yang mengamalkan sistem bintang dan populariti. jadi selain tidak ada jaminan epf, kwsp dan sebagainya, saya tidak punya cukup wang untuk simpanan dan pelaburan di hari tua kerana bakat dan kerja saya dibayar ikut sistem bintang dan populariti. walaupun kerja-kerja saya rasanya tidaklah mengecewakan, saya termasuk dalam golongan aktor yang dikategorikan sebagai 'overworked and underpaid'.

saya tidaklah menyalahkan sesiapa kerana orang melayu sebagai komuniti terbesar sebagai penonton memang suka melihat yang cantik-cantik dan muda-muda serta yang berseri-seri bak bintang kejora sahaja. mereka tidak gemar malah selalu rasa terbeban dengan pameran yang serius dan berilmu apalagi si tukang pamernya adalah orang yang tidak punya sebarang bintang di dada mahupun di bahunya. dan saya pula sesekali tidak mahu membiarkan diri saya terjerumus ke dalam dunia bintang yang memang cantik dan bersinar tetapi akhirnya pudar, meletus dan hilang begitu sahaja.

lalu dengan kesedaran bahawa saya semakin tua dan usia tua tentulah dekat dengan penyakit, saya telah melancarkan beberapa misi kesihatan yang saya mampu lagi rakyat sifatnya. saya pun memilih untuk berjalan kaki, berbasikal, minum air dengan banyaknya dan menjaga pemakanan. saya memang menolak untuk membayar stail di gimnasium atau pun pil-pil dan serbuk-serbuk makanan vitamin tambahan yang mahal lagi palsu dan kimia sifatnya itu. lebih baik wang yang ada itu saya gunakan untuk membayar bil hospital (kalau ditakdirkan sakit, kita akan sakit juga tapi saya percaya tuhan tidak kejam malah suka pada orang yang berusaha) yang memang kita semua maklum adalah agak menghukum sifatnya kepada kita, rakyat yang sangat memerlukan bantuan di saat-saat memerlukan. saya takut ketika itu saya tidak mampu membayar bil hospitaliti mereka kepada saya.

lalu saya pun mencuba-cuba jadi si pemakan sayur. dan untuk diri saya ternyata ia satu langkah yang berbaloi. saya tidak mudah dijangkiti penyakit malah lebih sihat dan bertenaga dari dulu. dan doa saya semoga usaha saya ini berterusan memberi manfaat kepada saya.

lalu doa saya yang seterusnya, semoga hujah saya ini akan dapat menyelamatkan saya dari dihumban ke dalam neraka. kerana setiap kali saya dikritik kerana hanya makan sayur, selalu pengkritik-pengkritik saya itu akan kata ' kau berdosa tolak nikmat tuhan'! berdosa maknanya masuk neraka dan kata-kata itu satu doa!

but then again, mungkin tuhan saya tak sama dengan tuhan mereka. tuhan saya maha memahami, maha berilmu dan maha waras! Tuhan mereka.. tak tahu lah saya..



*saya teringat kata-kata di dalam sebuah buku yang telah lama saya baca 'di dalam sejarah peradaban manusia, tidak pernah pemimpin dan politik menegakkan hak rakyat, hanya rakyat yang berlawan menegakkan hak rakyat.' dan ketika kejadian itu, kartika hanyalah seorang rakyat. lalu dia pun berdosa.

Monday, November 9, 2009

wanita hidrokuinon, merkuri dan hidrogen peroksida.



tengahari. terik. saya berjalan kaki pulang dari pasaraya yang jaraknya 15 minit sahaja dari rumah dan terserempak dengan seorang teman yang lama tidak berjumpa. lelaki. melayu. berbual bertanya khabar. 5 minit kemudian, dia meninjau atas kepala saya.

"banyaknya uban! cover la sikit. kenapa tak colourkan!"
saya tersentak. mengapakah nadanya kedengaran jijik sekali, seolah-olah bukan uban yang tumbuh di atas kepala saya tapi kudis buta yang hanyir lagi busuk dan buruk rupanya?
(agaknya inilah kepedihan seorang teman perempuan saya yang kehilangan sebelah payudaranya akibat kanser ketika membuka coli untuk berasmara dengan suaminya yang kini tidak lagi mahu bersamanya.)

"i age gracefully." saya jawab. walaupun pedih, saya puas hati kerana saya tidak malu untuk jujur. dia senyum sinis. mungkin dia rasa saya mengarut atau mungkin juga dia terpukul dengan jawapan saya. dia berlalu dan saya pun berlalu. pulang ke rumah, bukan berlari sambil menangis anak ke salun rambut yang berdekatan seperti beberapa kenalan perempuan yang saya kenal - wanita-wanita hidrogen peroksida.

petang. saya di warung rakyat. kopi dengan rokok dan buku di tangan. " one is not born, but rather become, a woman." kata simone de beauvoir, pemikir eksistensialis perancis, pencetus gerakan feminisme. perempuan yang digilai oleh lelaki dan perempuan kerana keintelektualannya, keberaniannya mengeksplorasi dunia cinta, kekuatannya meruntuhkan dinding prejudis akibat sekatan gender. saya tersengih. betul. hidup seorang wanita yang tidak kuat ketahanan mentalnya akan dibentuk oleh persepsi masyarakat yang didominasi oleh sudut pandangan primitif yang seringkali pula didominasi oleh kaum lelaki.

di meja sebelah, seorang perempuan melayu separuh umur berimej tipikal - rambut perang, berlemak di pinggang peha dan lengan, bertumit setinggi kaki meja, tas tangan besar yang tentunya dipenuhi kosmetik yang diantaranya krim pemutih kulit dan multivitamin - jaminan palsu kapitalis parasit buat rakyat yang sengaja membiarkan perasaan rendah diri mereka dimanipulasi dan dieksploitasi oleh janji-janji manis kesempurnaan.

disebelah cawan kopinya yang ke 3 dan kotak rokok yang semakin kosong itu (kalau benar dia gila kecantikan, kenapa dia tidak minum air buah atau air suam saja? dan merokok?) beberapa katalog sedang di terangkannya. ada 2 orang gadis remaja yang segar bugar dan masih mulus kulit mereka tekun mendengar.

" takpe. i bagi u cuba pearl powder. memang putih kulit u nanti. 2 minggu dah nampak dah."
2 gadis yang segar bugar dan mulus kulit yang langsung tak memerlukan produk tersebut mengangguk laju. mereka memandang wanita tersebut dengan penuh harapan seperti mengharap pari-pari menghayunkan tongkat kecil sakti di atas kepala mereka dan ting! mereka pun bertukar menjadi snow white yang cantik lagi manis! snow white palsu hasil reaksi kimia hidrokuinon dan merkuri!

kesian.



* hidrogen peroksida - bahan kimia untuk melunturkan warna asli rambut yang hitam sebelum dibalut dengan warna baru.
*hidrokuinon dan merkuri - bahan kimia yang digunakan dalam kosmetik pencerah kulit.

Thursday, November 5, 2009

mencari 'simone de beauvoir'


jam 2 petang semalam - saya melancarkan ekspedisi mencari buku 'The second Sex' tulisan pemikir eksistensialis perancis, simone de beauvoir di rak-rak mahal lagi berkilat dan bercermin di toko-toko buku utama, besar lagi terkenal di sekitar bandaraya kuala lumpur yang kita semua cintai dan benci ini.

walaupun ada firasat-firasat halus yang berbisik di telinga saya bahawa saya tak akan dapat menemuinya di situ, saya tetap meneruskan pencarian kerana saya bukanlah 'melayu malas' yang berpuas hati dengan keputusan ikut rasa, mimpi, firasat kemenyan mahupun dongengan nenek moyang tanpa melakukan tindakan dan usaha-usaha yang sepatutnya terlebih dahulu. lagipun, malaysia yang sekian lama merdeka dan sekian lama menjanjikan pencapaian minda yang bijak lagi terbuka ini sudah tentulah juga menjanjikan koleksi ilmu-ilmu pengetahuan yang tidak terbayangkan untuk habuan kita sebagai rakyatnya yang sekian lama setia mengharungi apa jua kegawatan yang berlaku atau yang sengaja dilakukan.

lalu saya dengan berbekalkan idea positif lagi penuh romantisme itu, pergi menjelajah ke setiap toko-toko buku tersebut.

sampai sahaja di toko buku yang pertama, seperti biasa saya akan terus menuju ke arah sistem pencarian buku berkomputer di tepi dinding di sebelah rak yang dipenuhi dengan buku-buku terbitan kapitalis parasit yang menyedut untung dari poket roh michael jackson. saya memandang michael jackson yang memandang saya dengan matanya yang berkilau akibat pantulan sarung tangan berliannya itu. saya tersengih. sememangnya lubuk duit berada di tangan orang yang sengsara. macam rakyat palestin. mereka berhempas pulas berlapar dahaga menggadai nyawa. dan ada orang-orang kita di sini mengaut untung dengan menjual lencana-lencana, sticker, t-shirt dan serban-serban yang berlogokan 'free palestine'.

saya pun menaip nama penulis dan tajuk buku yang saya cari. di saat saya menaip tajuk buku 'the second sex', dari ekor mata saya nampak, berdiri seorang pengawal keselamatan berbangsa melayu yang agak berumur di belakang saya sedang tersengih melihat buku yang saya cari.

"tak ada dik buku tu. buku lain ada."
"o yeke? ok...section women's studies kat mana, pakcik?"
"kat sana. mai pakcik tunjukkan."

perasaan saya pada waktu itu seolah-olah seperti ditangkap sedang menonton porno atau sedang mau mebuka coli untuk berasmara dengan kekasih di waktu remaja dulu! tapi pakcik guard ni ok kut, sekurang-kurangnya dia tau di mana seksyen women's studies! bisik hati saya.

sampai saja di rak buku yang dimaksudkan, saya terkial-kial mencari buku yang tiada. saya didatangi lagi. kali ini oleh seorang pembantu toko. tanpa membuang masa saya pun terus bertanya dan tanpa membuang saya dia pun bertanya saya kembali.

"buku apa tu?"
"falsafah, cik."
"the second sex?" (dengan penekanan yang agak luar biasa pada perkataan sex tersebut)
"ya."
"siapa penulisnya?"
"simone de beauvoir"
"falsafah apa tu ya?"
"eksistensialisme" walaupun sebenarnya saya ingin sekali kata kepadanya "cinta, seks dan keinginan seorang wanita yang bebas dan merdeka!"
"tak ada. buku lain ada", eh, samalah jawapannya dengan pakcik guard tadi. langsung tak ada perbezaan status pemikiran dan sebagainya. atau mungkin juga sebelum menjadi pembantu pelanggan, dia terlebih dahulu seorang pengawal keselamatan di situ.

jam 3 petang - di toko buku kedua. berbekalkan pengalaman di toko buku pertama, saya tak mahu lagi membuang masa. saya terus ke kaunter pertanyaan dan servis pelanggan. dua orang gadis bertudung lagi sopan tetapi langsung tidak peramah duduk ibarat pasu bunga menunggu waktu habis kerja untuk diangkat oleh pasangan masing-masing kembali ke taman simpanan di rumah. mereka langsung tidak menyapa saya. sekali lagi saya terkial-kial. saya pun bertanya.

"buku apa?" mata si gadis terbeliak.
"tak apa. ada pen dengan kertas? saya tuliskan tajuk buku dan nama penulisnya sekali."

di saat saya menghulurkan kertas catitan tersebut, si gadis sekali terbeliak lagi memandang saya. beliakan yang hanya membawa satu maksud - buku lucah! beliakan yang selalu saya lihat di pondok2 menunggu bas atau teksi ketika mereka melihat gadis-gadis berani yang memakai mini skirt atau seluar pendek mahupun baju tidak berlengan menampakkan dada. beliakan yang mempunyai 2 makna - "astaghfirullahalazzim" atau "aku teringin jugak nak pakai macam tu"

Si gadis pun mencari buku tersebut di laman komputernya.

"sorry miss, according to our management file, we never bring in such book" begitulah maksud ayatnya kalau tidak kerana broken englishnya yang begitu dahsyat sekali.

jam 4.30 petang - setelah berjalan kaki sambil makan aiskrim saya pun sampai ke toko buku ketiga. toko buku yang terbesar, tergah dan punya paling banyak rak-rak bercermin di mana rakyat melihat buku seperti melihat barang-barang artifak yang tak ternilai harganya. hanya yang ada kuasa wang yang mampu menyentuh dan menyelak helaiannya tak kira lah apa tujuannya, untuk memenuhi ilmu di dada atau untuk hiasan di rak-rak rumah untuk label inteligen oleh tamu yang datang.

di kaunter pertanyaan,

"mintak maaf cik, kami memang tak pernah bawak masuk buku ni"
"kena banned ke? ini buku falsafah tau, bukan buku lucah"
si gadis dan si mamat tersengih. "kalau ikut status kat dalam listing ni, buku ni bukan dalam list buku kena banned."
"dah tu?"
" ini buku lama cik. ada dua edisi je. tahun 1976 dan 1995. tak ada edisi baru."
" so? shakespeare kena ada edisi baru jugak ke baru boleh keluar. kalau macam tu susah la plato,aristotle, william blake, jalaludin rumi semua tu kan? diaorang tu penulis lama tu."
si gadis dan si mamat tersengih lagi. mungkin dah biasa dengan ragam rakyat yang naik hantu akibat ketagihan ilmu. mungkin kerana itu mereka diletakkan oleh majikan-majikan mereka yang penakut lagi korup di meja depan untuk menguruskan urusan-urusan rakyat.
"tak tau la cik. tapi buku-buku dia yang lain ada"
"buku madame bovary ada?"
" penulisnya?'
"Gustave Flaubert"
"ada. cik masuk kiri, di rak no 1 dari kanan ya."

Saya ketawa bagai nak gila dalam diri saya. macamana buku 'madam bovary' tulisan gustave flaubert yang penuh dengan cerita cinta, seks dan keinginan wanita itu boleh ada di mana-mana sedangkan 'the second sex' simone de beauvoir, falsafah eksistensial wanita yang mencetuskan kesedaran hak asasi wanita seterusnya gerakan revolusi feminisme itu hanya ada di rak-rak persendirian di rumah teman-teman aktivis sahaja?

takkanlah rakyat malaysia yang sekian lama bebas dan merdeka ini hanya hidup atas daya fikir yang dicetuskan oleh imej-imej bersih dan slogan-slogan indah sahaja? takkanlah begitu cetek sekali pemikiran kita ya?

jam 6.30 petang - penat, marah, sedih, bimbang dan kaki yang longlai akibat terlalu banyak berjalan dan terlalu lama berdiri serta dicengkam udara penghawa dingin yang tidak sihat lagi palsu, saya di sebuah kedai kopi separuh borjuis yang membenarkan rakyat minum kopi sambil menyedut rokok berdekatan dengan panggung wayang yang sedang menayangkan filem 'this is it'. saya leka melihat gadis-gadis manis yang moden lagi ranggi dan cuba sedaya upaya tampak hebat dengan pakaian dan gaya rambut terbaru.

saya hanya ada satu soalan untuk mereka.

Mengapakah mereka bercermin mata hitam besar menutup hampir separuh muka di dalam pusat membeli belah yang tertutup, dingin lagi tidak di masuki cahaya?
adakah kerana mata mereka bengkak akibat menangisi michael jackson dalam aksi-aksi terakhirnya di dalam filem 'this is it'?
atau adakah mereka 'trying their hardest to look gorgeous without knowing that they actually look dumb'? memakai cermin mata hitam di dalam bangunan di musim basah lagi hujan?

saya rasa sudah tiba masanya toko-toko buku membawa masuk buku-buku yang boleh meningkatkan lagi ilmu pengetahuan mereka. lebih baik lagi sekiranya buku-buku tersebut diletakkan di perpustakaan-perpustakaan rakyat yang mudah di jangkau oleh mata dan tangan serta jarang dikunjungi si kaya yang sibuk mencari wang untuk membeli buku-buku berstatus artifak di toko-toko buku glamor.
hanya ilmu pengetahuan sahaja yang dapat meningkatkan tahap kecantikan seorang wanita di mata wanita, apalagi di mata lelaki dan di mata dunia!