Saya membesar di sebuah ladang getah di Kampung Jeram. Kampung Jeram ini pula terletak di tengah-tengah antara Kampar dan Gopeng. ya, di negeri Perak yang sekarang huru-hara dengan perangai-perangai pentadbirnya.
Arwah atuk saya, penoreh getah yang menjalani hidupnya dalam tiga zaman yang berbeza, British, Jepun dan Malaysia. oleh itu dia juga adalah seorang askar British, askar melayu dan polis kampung sebelum pencen dan menjadi penoreh getah sepenuh masa.
maka, tubuh badan dan otaknya penuh dengan pelbagai cerita suka dan cerita duka yang pelakon-pelakonnya terdiri dari pelbagai bangsa, pelbagai warna dan pelbagai pula 'pe el'nya. Oleh itu memang layak sekalilah dia menjadi tukang cerita yang sangat dikagumi dan dicintai oleh cucu-cucunya.
Arwak atuk saya ini tersangatlah garang sifatnya. maklumlah, pernah membunuh orang di dalam hutan hujan tropika di negara kita ini. tetapi pembunuhan yang dilakukannya itu samada dengan senapang atau benet atau pisau atau apa saja lah, pada waktu itu adalah pembunuhan yang halal. patriotik, kata mereka.
jadi, saya sebagai cucu yang pertama, buah hati pengarang jantung, intan payung gunung meletupnya, selalu menyalahgunakan status saya itu untuk mendamaikan suasana apabila arwah atuk saya ini di dalam 'mode' garangnya. dalam erti kata lain, saya telah disalah gunakan oleh ahli-ahli keluarga yang lainlah. waktu itu saya masih kecil untuk tahu apa itu 'rasuah'. hahaha. tapi saya suka.
saya suka kerana setiap kali gunung berapi arwah atuk saya ini meletup, dia akan pergi ke bawah rumah (rumah kampung di Perak biasanya bertiang tinggi) dan duduk di atas buaian 'hammock'nya. Arwah atuk saya ini gemuk orangnya, jadi tidur di bawah rumah ditiup angin sepoi-sepoi bahasa dari ladang getah yang redup dan terbentang luas, memanglah kesukaannya dari berpeluh di atas rumah. dan saya akan sampai tepat pada masa sebelum dia melabuhkan dirinya untuk lena seketika. dan dialog saya sama saja, 'Atuk..... cerita lah..."
Salah satu cerita arwah atuk saya itu bertajuk 'gergasi gergasang'.
Ceritanya begini, di dalam sebuah hutan tebal berzaman-zaman dahulu, tinggallah sepasang gergasi. Seekor namanya gergasi, seekor lagi gergasang.(mudah betul nama-nama zaman dulu ya). apa pun jantina gergasi-gergasi ini tidaklah diketahui. jenis hubungan antara mereka berdua pun tidak juga diketahui.
pada suatu hari yang hening, di dalam kedinginan hutan yang penuh dengan flora dan fauna yang indah-indah belaka, datanglah seorang rakyat jelata. Apa yang rakyat jelata buat di dalam hutan itu tidaklah diketahui. jantinanya juga tidak diketahui. dipendekkan cerita, si rakyat jelata itu telah terserempak dengan gergasi gergasang yang bertekak manja kerana berebutkan sebiji buah bacang.
Kerana takutkan gergasi gergasang vegetarian itu, si rakyat jelata dengan selaju halilintar memanjat pokok bacang yang berhampiran. pikirnya, matilah dia kerana dia tidak dapat lari ke mana-kemana kerana 20 langkah dia adalah selangkah gergasi2 tersebut. Si rakyat jelata tidak punya pilihan melainkan menunggulah gergasi2 tersebut beredar dari kawasan tersebut.
Tetapi gergasi gergasang makan angin pulak di bawah pokok bacang tersebut, baring-baring, gelak ketawa, bergurau senda. Si rakyat jelata tertawa pulak melihat perangai mereka sehingga dia tak sedar gergasang terdengar ketawanya itu. gergasang yang memang takutkan hantu terus menonggeng untuk melihat samada di situ ada berkeliarannya hantu di celah kangkangnya. maka bergilir-gilirlah gergasi gergasang menonggeng sehingga mendatangkan satu idea yang bernas di kepala otak si rakyat jelata itu.
si rakyat jelata memetik sebiji buah bacang dan membaling buah tersebut ke arah lubang dubur gergasang. Gergasang naik marah dan menuduh gergasi mempermainkannya. Gergasi marah dan menonggeng pula. nah! sebiji lagi buah bacang meluru macam peluru masuk ke dalam lubang duburnya. dan begitulah sebaliknya sehingga bergustilah gergasi gergasang itu sehingga bergegarlah tanah di sekeliling dan jatuhlah si rakyat jelata ke atas tanah lalu dipijak mati oleh gergasi gergasang yang sibuk bergusti.
jadi, pada hari ini apabila saya lihat berita terpampang tentang isu karpal singh vs anwar ibrahim, kematian demokrasi rakyat dan sebagainya, saya jadi rindu sekali dengan arwah atuk saya. Kalau dia masih hidup ingin sekali saya berlari ke dalam pelukannya sambil berkata, 'saya dah jumpa gergasi gergasang dan si rakyat jelata tu!"
No comments:
Post a Comment