Wednesday, February 11, 2009

'KOMAN LE KOME NI !'


Kesiannya rakyat Perak. Macam-macam 'red tape' dikenakan.
tak boleh menderhaka pada raja.
tak boleh pilih pemimpin yang dimahukan.
tak boleh berdemo pakai baju menutup aurat. (ini negara Islam ke, nak demo pakai skirt pendek dan baju nampak dada dan ketiak?)
tak boleh baca suratkhabar alternatif.
tak boleh dengar ceramah politik.
antara semua kekangan itu, yang paling saya takut adalah yang terakhir itu- tak boleh dengar ceramah politik- kerana ia mengingatkan saya kepada mak saya. mak saya garang orangnya.
saya sudah lama menetap di kota lumpur ini. dan sebagai penghuni tetapnya, bohonglah kalau saya kata, saya tak terpalit dengan lumpurnya itu. kadang-kadang saya yang menyelam ke lubuknya dengan rela hati saya. A..hahaha.
jadi mak saya yang melahirkan saya sudah tentulah amat kenal dengan kenakalan saya ini. Oleh kerana saya sudah lama duduk berjauhan dari dia, dia merasakan tanggungjawabnya terhadap saya amatlah besar dan amatlah beratnya sekali kalau dibandingkan dengan adik-adik (semuanya perempuan) saya yang lain.
maka, setiap hujung minggu akan kedengaranlah panggilan talipon dari mak saya itu. dan sebagai seorang mak, tak ada lain yang dinasihatinya melainkan yang biasa-biasa itulah -jangan buat maksiat, tutup aurat, ingat umur tu dah lanjut, jangan tinggal sembahyang, jangan lupa baca Al-Quran dan yang paling penting sekali, yang ini akan wajib diulangnya paling tidak 3 kali- jangan lupa dengar ceramah ugama.
Ceramah ugama ini penting katanya. Lebih dari 3 hari tak dengar ceramah ugama, sikit-sikit tertutuplah hati tu. tak ada cahaya yang akan masuk. tak ada nur yang akan menerangi mata hati dan fikiran saya. Tak betul nanti perjalanan hidup saya. tak tepat dalam membuat keputusan. jahil, katanya. nanti di akhirat esok, tuhan akan tanya apa gunanya ada tv, radio dan sebagainya kalau langsung tak ada dengar ceramah ugama. dan bermacam lagilah. jadi untuk tidak menyusahkan hatinya,(juga untuk mengurangkan penggunaan staminanya membebel) saya kata 'ada mak.. ada dengar..'. Dengar apa, saya tak cakaplah pada dia. nanti dia tanya pulak. 'Siapa bob dylan tu? ustaz dari negara mana'?.
Jadi, macamana rakyat Perak? takutlah saya. kalau tak dengar ceramah politik, macamana nak buat keputusan yang tepat? Tapi tak apalah, bukan rakyat yang tak nak dengar, ya tak? ketua polis yang tak bagi. Biarlah dia yang jawab nanti bila Tuhan tanya. lagipun dia polis, mestilah pandai. dia boleh jaga diri dia.
tapi saya memang tak gemar dengar ceramah ugama dalam radio dan tv malaysia ni. banyak sangat kepolitikusannya.
saya percaya selagi saya masih percaya kepada tuhan yang maha esa, ada banyak lagi jalan untuk mengenaliNYA. (jangan bagitahu mak saya ya)
Dan saya percaya, tanpa ceramah, ada banyak lagi cara rakyat Perak untuk mendapatkan nur dalam membuat keputusan mereka.
p.s - emas pun duduk asalnya dalam lumpur juga. akhirnya, kebenarannya sebagai emas tetap bercahaya. (jangan bagitahu mak saya ya. nanti dia kata saya pantun saya 'koman' (bahasa Perak untuk 'low class)

Monday, February 9, 2009

GERGASI GERGASANG


Saya membesar di sebuah ladang getah di Kampung Jeram. Kampung Jeram ini pula terletak di tengah-tengah antara Kampar dan Gopeng. ya, di negeri Perak yang sekarang huru-hara dengan perangai-perangai pentadbirnya.
Arwah atuk saya, penoreh getah yang menjalani hidupnya dalam tiga zaman yang berbeza, British, Jepun dan Malaysia. oleh itu dia juga adalah seorang askar British, askar melayu dan polis kampung sebelum pencen dan menjadi penoreh getah sepenuh masa.
maka, tubuh badan dan otaknya penuh dengan pelbagai cerita suka dan cerita duka yang pelakon-pelakonnya terdiri dari pelbagai bangsa, pelbagai warna dan pelbagai pula 'pe el'nya. Oleh itu memang layak sekalilah dia menjadi tukang cerita yang sangat dikagumi dan dicintai oleh cucu-cucunya.
Arwak atuk saya ini tersangatlah garang sifatnya. maklumlah, pernah membunuh orang di dalam hutan hujan tropika di negara kita ini. tetapi pembunuhan yang dilakukannya itu samada dengan senapang atau benet atau pisau atau apa saja lah, pada waktu itu adalah pembunuhan yang halal. patriotik, kata mereka.
jadi, saya sebagai cucu yang pertama, buah hati pengarang jantung, intan payung gunung meletupnya, selalu menyalahgunakan status saya itu untuk mendamaikan suasana apabila arwah atuk saya ini di dalam 'mode' garangnya. dalam erti kata lain, saya telah disalah gunakan oleh ahli-ahli keluarga yang lainlah. waktu itu saya masih kecil untuk tahu apa itu 'rasuah'. hahaha. tapi saya suka.
saya suka kerana setiap kali gunung berapi arwah atuk saya ini meletup, dia akan pergi ke bawah rumah (rumah kampung di Perak biasanya bertiang tinggi) dan duduk di atas buaian 'hammock'nya. Arwah atuk saya ini gemuk orangnya, jadi tidur di bawah rumah ditiup angin sepoi-sepoi bahasa dari ladang getah yang redup dan terbentang luas, memanglah kesukaannya dari berpeluh di atas rumah. dan saya akan sampai tepat pada masa sebelum dia melabuhkan dirinya untuk lena seketika. dan dialog saya sama saja, 'Atuk..... cerita lah..."
Salah satu cerita arwah atuk saya itu bertajuk 'gergasi gergasang'.
Ceritanya begini, di dalam sebuah hutan tebal berzaman-zaman dahulu, tinggallah sepasang gergasi. Seekor namanya gergasi, seekor lagi gergasang.(mudah betul nama-nama zaman dulu ya). apa pun jantina gergasi-gergasi ini tidaklah diketahui. jenis hubungan antara mereka berdua pun tidak juga diketahui.
pada suatu hari yang hening, di dalam kedinginan hutan yang penuh dengan flora dan fauna yang indah-indah belaka, datanglah seorang rakyat jelata. Apa yang rakyat jelata buat di dalam hutan itu tidaklah diketahui. jantinanya juga tidak diketahui. dipendekkan cerita, si rakyat jelata itu telah terserempak dengan gergasi gergasang yang bertekak manja kerana berebutkan sebiji buah bacang.
Kerana takutkan gergasi gergasang vegetarian itu, si rakyat jelata dengan selaju halilintar memanjat pokok bacang yang berhampiran. pikirnya, matilah dia kerana dia tidak dapat lari ke mana-kemana kerana 20 langkah dia adalah selangkah gergasi2 tersebut. Si rakyat jelata tidak punya pilihan melainkan menunggulah gergasi2 tersebut beredar dari kawasan tersebut.
Tetapi gergasi gergasang makan angin pulak di bawah pokok bacang tersebut, baring-baring, gelak ketawa, bergurau senda. Si rakyat jelata tertawa pulak melihat perangai mereka sehingga dia tak sedar gergasang terdengar ketawanya itu. gergasang yang memang takutkan hantu terus menonggeng untuk melihat samada di situ ada berkeliarannya hantu di celah kangkangnya. maka bergilir-gilirlah gergasi gergasang menonggeng sehingga mendatangkan satu idea yang bernas di kepala otak si rakyat jelata itu.
si rakyat jelata memetik sebiji buah bacang dan membaling buah tersebut ke arah lubang dubur gergasang. Gergasang naik marah dan menuduh gergasi mempermainkannya. Gergasi marah dan menonggeng pula. nah! sebiji lagi buah bacang meluru macam peluru masuk ke dalam lubang duburnya. dan begitulah sebaliknya sehingga bergustilah gergasi gergasang itu sehingga bergegarlah tanah di sekeliling dan jatuhlah si rakyat jelata ke atas tanah lalu dipijak mati oleh gergasi gergasang yang sibuk bergusti.
jadi, pada hari ini apabila saya lihat berita terpampang tentang isu karpal singh vs anwar ibrahim, kematian demokrasi rakyat dan sebagainya, saya jadi rindu sekali dengan arwah atuk saya. Kalau dia masih hidup ingin sekali saya berlari ke dalam pelukannya sambil berkata, 'saya dah jumpa gergasi gergasang dan si rakyat jelata tu!"

Friday, February 6, 2009

"Kin Country Syndrome"


Saya gelak besar bila terbaca kenyataan seorang artis tersohor dalam akhbar perdana tentang tragedi di Gaza. artis yang dicintai dan dimegahi oleh 90% rakyat malaysia ini berkata sumbangannya yang diperolehi dari lelongan jaket peribadinya itu sangatlah kecil nilainya. apa yang penting katanya adalah usaha kita (bermaksud usaha dia juga) untuk mengekalkan kedamaian dan keamanan di Gaza. A..hahahaha! maka sudah terang lagi bersuluhlah akan kecetekan informasi apalagi lah ilmu dalam otaknya itu. Dan bukan dia seorang sahaja, penyakit itu telah pula merebak seperti virus atau plague melanda pemikiran sebahagian besar rakyat malaysia ini. Lalu semenjak regim Zionis Israel menyerang Gaza bertubi-tubi (walaupun bom yang pertama datangnya dari Hamas), malaysia telah menyaksikan kemeriahan demi kemeriahan pesta- pesta derma dungu yang di limpahi wang ringgit dan wajah-wajah artis yang bergemerlapan.

'kin Country Syndrome' adalah istilah yang keluar dari mulut penulis kontroversi Samuel Huntington dalam tesisnya tentang 'clash of civilisations' atau 'perang antara tamadun ' khususnya antara tamadun barat dan tamadun Islam. ia bermaksud sokongan membuta tuli oleh negara-negara yang berkongsi satu ugama atau satu falsafah terhadap negara lain yang juga satu ugama dengan mereka yang dilanda peperangan. Dalam erti kata lain, apabila Iraq diserang oleh amerika, negara-negara Islam yang lain bersimpati dan menyokong Saddam hussein walaupun mereka tahu saddam hussein adalah seorang diktator yang kejam terhadap rakyatnya dan tidak patut dihargai. maksudnya, asalkan Islam atau muslim tak kira apa pun perangainya, kita sokong.

Lalu apabila Gaza diserang bertubi-tubi (walaupun Hamas juga dikenali sebagai satu parti yang berlandaskan 'violence'), kita di landa 'kin country syndrome'. yang dungu pula sifatnya.

ia menjadi dungu kerana segala derma-derma tersebut dibuat tanpa ilmu. Imu yang penting untuk kesedaran kita tentang hakikat sebenar perang di gaza ini.

sejak Gaza dibelasah (walaupun Hamas dibentuk adalah untuk mendapatkan sekeping tanah dengan cara kekerasan, maksudnya mereka memang menunggu untuk dibelasah dan membelasah), peratusan rakyat yang menghadiri forum-forum keilmuan tentang sejarah Israel dan palestin boleh dikira dengan jari sebelah tangan berbanding dengan yang menghadiri konsert-konsert dan lelongan artis-artis terkenal. apalagilah yang mahu membaca atau menelaah tentang perkara itu dari buku-buku ilmiah atau internet.

Perbezaan antara falsafah zionisme, si zionis yang mengamalkan falsafah zionisme, bangsa yahudi dan negara israel amat penting untuk kita pelajari supaya kita tidak di landa 'kin country syndrome' yang membuta tuli dan dungu. Begitu juga dengan sejarah palestin yang bergelut dalam konflik politik sesama sendiri sehingga terpisahnya tampuk pemerintahan Fatah yang lebih kanan di Tebing Barat dan Hamas di Semenanjung Gaza. Sejarah allahyarham yasser arafat dan PLO nya, serta hubungkait politik yang rumit dengan Arab Saudi yang dibayangi oleh campurtangan pejuang mujahideen, Taliban, al-Qaeda, ISI pakistan dan sebagainya. itu belum lagi sejarah campurtangan amerika syarikat dengan polisi-polisi keamanan yang menguntungkan pihak mereka. tidak perlulah saya berkhutbah tentang semua ini kerana ia banyak diperkatakan dengan lebih ilmiah dan mendalam dalam buku-buku yang tersusun rapi dalam kedai-kedai buku yang menunggu rakyat menggunakan duitnya untuk sesuatu yang berfaedah.

persoalannya, apakah kemampuan kita (atau artis tersebut di atas) yang ingin mengadakan keamanan di gaza sedangkan rakyat Gaza sendiri tidak dapat menyelesaikan kemelut politik dalaman mereka?

saya tidak faham kenapa duit ringgit yang dijadikan ukuran keamanan sedangkan minda yang celik dan sedar adalah titik tolak pertama yang menghidupkan jentera kemerdekaaan. Tidakkah kita sedar bahawa duit ringgit yang kita dermakan itu akan pergi ke puak Hamas yang berlandaskan gerakan bersenjata? sudah tentu duit ringgit itu akan digunakan untuk membeli lebih banyak senjata untuk perang yang akan datang kerana mereka percaya kepada kesucian perang itu(holy war). mereka suka dan mengharapkan perang untuk mati sebagai jihad dan masuk syurga.

lalu untuk apa kita menangis untuk anak-anak kecil dan pemuda-pemuda serta rakyat Gaza yang sudah tentu masuk syurga? Kita patut menangisi diri sendiri kerana sudahlah belum tentu masuk syurga, duit pun habis menderma, terpaksa pulak menghadapi kemelesetan ekonomi yang runcing, tak cukup pulak duit untuk membeli buku-buku ilmiah yang dapat mencelikkan minda kita yang sempit dan dungu ini.

Kerana tidak berilmulah kita mudah sangat ditipu oleh sentimen keagamaan. Kita percaya perang gaza adalah perang agama (kerana mereka muslim) sedangkan perang Israel-palestin itu adalah perang hakmilik sekeping tanah dan segelintir rakyat Palestin itu ada yang beragama kristian.

Kerana tidak berilmulah, kita tidak tahu bahawa zionis itu adalah nama yang diberikan kepada sesiapa sahaja yang mendukung falsafah zionisme tidak kira dia datang dari bangsa apa pun. sebab itu apabila Hishamuddin rais dikecam hebat oleh orang-orang Barisan nasional kerana terminologi 'zionis tempatan' atau 'zionis melayu', saya gelak besar seminggu lamanya. Kerana orang-orang yang mengecam itu jugalah yang sibuk menganjurkan pesta derma gaza. Eloklah, yang menganjur dan yang dianjur pun sama hebat kedunguan mereka.

Kerana tidak berilmulah, kita mudah menuduh semua orang yahudi itu jahat dan kafir sedangkan ada orang-orang yahudi beragama islam dan ada orang Melayu yang jauh lebih jahat dan al kafirun dari kafir lain. kasihan pada nabi-nabi Allah yang dulunya berketurunan Yahudi dari Bani Israel.

kerana tidak berilmulah, kita tidak dapat mengenalpasti bahawa walaupun agama Islam itu sempurna, muslim adalah manusia-manusia yang tidak sempurna. Perang terjadi kerana adanya 2 pihak yang egoistik. Dan egoistik bukanlah sifat agama. Egoistik adalah sifat manusia tidak kira apa pun agamanya. mari kita mengambil iktibar dari pembunuhan benazir bhutto yang didalangi oleh Al-Qaeda, Madrassah Merah (red Mosque), anak lelaki Osama bin laden dan intelegensia pakistan - 4 pertubuhan yang semuanya berteraskan ugama Islam.

Kerana tidak berilmulah kita tidak tahu apa itu zionisme. falsafah merbahaya berteraskan perkauman, apartheid, penghapusan etnik yang membina dinding apartheid yang bila-bila masa boleh menyerang kita sekiranya kita tidak ada kesedaran dan ilmu tentangnya.

dan menderma atas nama kemanusiaan tanpa tahu apa erti kemanusiaan itu sendiri adalah perbuatan orang-orang yang tidak berilmu. Mereka sukakan glamor ala-ala jihadis. mereka ingin dilihat sebagai berperikemanusian, berjuang menegakkan hak dan agama sedangkan hak dan agama itu hanya benar sekiranya manusia itu berilmu tentang perkara tersebut.

Seperti tubuh badan kita yang mudah diserang penyakit kerana kurang ketahanan antibodi. minda kita akan di serang pelbagai sindrom dan dakyah-dakyah sekiranya kurang ketahanan ilmu dan kesedaran.

dan sewaktu saya menulis artikel ini, saya di serang selsema. dan minda saya di serang pula oleh kegawatan politik di Perak. Dalam masa yang sama saya teringat seorang ibu tunggal berbangsa melayu beragama Islam di Johor yang terpaksa menyerahkan 3 orang anaknya kepada orang lain kerana tidak mampu menanggung kos kehidupan dan perubatan yang dibebani anak keempatnya yang lahir lumpuh tanpa tulang rusuk. Siapa agaknya yang ingin berjihad untuk dia? Mungkin saja tak ada kerana sudah tentu sumbangan dan si penyumbang kepada beliau tidak akan atau kurang dipublisitikan di dalam media. apa sangatlah isu tempatan kalau dibandingkan dengan isu internasional, ye tak?